Friday, December 17, 2010

Faktor-faktor yang telah menyumbang kepada pembentukan masyarakat pluraliti di malaysia.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, kunci keamanan, keteguhan, kestabilan, dan kemajuan pembangunan negara banyak bergantung kepada perpaduan dan kerjasama masyarakat Malaysia itu sendiri untuk mencapai perpaduan dan bukanlah satu perkara yang mudah. Ini adalah kerana memandangkan penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum, berbeza dari segi agama, budaya, aktiviti, ekonomi, lokasi tempat tinggal, dan sebagainya. Usaha-usaha untuk menerapkan semangat perpaduan atau kekitaan di kalangan masyarakat sering menghadapi cabaran serta masalahnya. Menurut Tan Sri Ghazali Shafie (1985) ‘ .... the road to a cohesive and proggressive society is a long and ardous one which to use the Malay phrase, is full of “ onak dan duri”.

Kenyataan di atas ternyata dapat kita simpulkan bahawa pelbagai cabaran yang perlu kita tempuhi bagi membina negara Malaysia yang unggul di mata dunia. Terdapat pelbagai cabaran yang di antaranya adalah cabaran sulung atau yang utama iaitu di mana cabaran kepentingan etnik dari aspek sosial. Aspek sosial ini dapat lihat melalui empat paradigma yang berlainan iaitu dari sudut pemisahan fizikal, sistem pendidikan yang berasingan, polarisasi dalam kalangan pelajar dan kontrak sosial. Dari sudut pemisahan fizikal ianya berlaku dalam masyarakat negara ini yang timbul akibat daripada kesan dasar “pecah dan perintah” yang diamalkan oleh British sejurus mennjajah Malaysia. Ketiga-ketiga kumpulan kaum ini bukan sahaja terasing daripada segi lokasi tempat tinggal, malahan mereka menjalankan jenis pekerjaan yang berbeza. Keadaan ini juga menyebabkan sesuatu golongan etnik itu tidak mengenal atau berpeluang berinteraksi dengan lebih kerap di antara sesama mereka khususnya mereka yang tinggal dalam wilayan yang berbeza. Hal ini berlaku akibat pemisahan fizikal yang disebabkan keadaan geografi di Sabah dan Sarawak yang terpisah oleh Laut China Selatan. Implikasinya terhadap hubungan etnik memperlihatkan perbezaan dari aspek lokasi yang berbeza merupakan perkembangan yang kurang sihat dalam pemupukan hubungan etnik di Malaysia. Selain itu, ia hanya meningkatkan lagi perasaan kekitaan atau etnosentrisme yang bermaksud pandangan atau perseptif yang melihatkan kelompok etnik lain melalui kaca mata etnik itu sendiri. Keadaan sebegini hanya akan menimbulkan prasangka, stereotaip dan mengekalkan kejahilan di dalam kalangan ahli bagi sesuatu golongan etnik terhadap golongan etnik yang lain. Contoh yang boleh kita nyatakan di sini adalah, kejahilan ilmu masyarakat Semanjung Malaysia dalam memahami cara hidup masyarakat Sabah dan Sarawak yang sedikit berbeza dari aspek budaya, keagamaan mahupun adat resam. Perkara sebegini mungkin akan berlaku jika semua etnik hanya mengambil berat tentang etniknya yang tersendiri sahaja. Maka, pastinya amat sukar sekali Malaysia untuk menjadi negara yang lebih maju sekiranya masyarakatnya terpisah dari sudut fizikal dan terasing dari arus pemodenan negara. Seterusnya, adalah dari sudut sistem pendidikan yang terasing. Setiap golongan etnik mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri. Maksudnya di sini adalah, pelajar Melayu menuntut di sekolah Melayu dan menggunakan bahasa perantaraan bahasa Melayu, pelajar Cina menuntut di sekolah Cina dan juga menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa perantaraan, manakala, pelajar India menuntut di sekolah Tamil dan menggunakan bahasa Tamil. Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda dan perbezaan etnik kurang memainkan peranan yang berkesan bagi memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar. Situasi hanya akan menyebabkan interaksi mereka hanya terhad di antara etnik yang sama sahaja. Implikasi bagi hubungan etnik ini hanya memberikan kesan yang negatif kepada negara Malaysia. Semua etnik masing-masing mempertahankan bahasa ibunda mereka dan tidak akan menerima bahasa ibunda kaum yang lain. Ini adalah mereka akan menganggap adalah tidak wajar dan tidak penting untuk mempelajari bahasa kaum yang lain. Selain itu, adalah menjadi satu kemestian di mana setiap sekolah mengamalkan sistem pendidikan yang berbeza. Ianya akan memberikan impak yang kurang elok kepada penstrukturan negara kerana mempunyai corak pendidikan yang berbeza-beza. Tidak juga dilupakan bahawa golongan yang menuntut di sekolah itu juga akan terlahirnya para pemimpin untuk mentadbir negara Malaysia pada satu hari kelak. Sekiranya pemikiran mereka hanya disogok dengan etnik mereka sahaja, sudah pasti Malaysia tidak akan berada dalam keadaan yang aman. Bakal pemimpin negara ini juga mengalami kesukaran untuk mendapatkan kata sepakat daripada rakyatnya yang terdiri daripada etnik yang berbeza. Pastinya, amat sukar untuk kita memupuk masyarakat yang majmuk jika cabaran ini dianggap enteng oleh pihak yang berwajib. Dari sudut polarisasi dalam kalangan pelajar yang dapat kita lihat adalah masih lagi terdapat keterasingan pada peringkat sekolah rendah, kerenggangan pada peringkat sekolah menegah dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) serta institut pengajian tinggi swasta (IPTS) masih wujud. Keadaan sebegini menyukarkan lagi proses hubungan etnik di Malaysia. Implikasinya di sini adalah nilai-nilai bagi memupuk semangat kekitaan pada negara Malaysia tidak dapat diterapkan dengan berkesan kerana masih lagi terdapat jurang di antara semua kaum. Jika kita lihat, pada masa kini, masih ada lagi para ibu bapa yang kurang mempercayai untuk menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan. Mereka lebih mudah menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan kerana merasakan struktur pendidikan di sekolah tersebut dapat menjamin kecemerlangan akademik anak mereka. Sukar sekali untuk kita memaksa ibu bapa ini kerana mereka mempunyai satu perspektif yang perlu kita hormati. Walau bagaimanapun, tidak semua ibu bapa yang bertindak sedemikian.

Cabaran yang kedua adalah cabaran kepentingan etnik dari aspek ekonomi. Melalui aspek ekonomi terdapat dua perkara yang perlu ditekankan adalah penguasaan ekonomi dan perbezaan pekerjaan berdasarkan sektor ekonomi. Pertama, penguasaan ekonomi memperlihatkan jurang yang luas bagi setiap etnik. Majoriti kaum Melayu menguasai sektor pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia dan berteknologi rendah. Bagi kaum Cina, yang umumnya menguasai sektor yang lebih maju seperti perniagaan, perdagagan dan menggunakan teknologi moden. Manakala, kaum India pula banyak terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Kenyataan di sini sudah membolehkan kita membuat satu kesimpulan iaitu terdapatnya jurang pendapatan yang begitu ketara dan tidak seimbang dalam ekonomi negara Malaysia. Semua golongan etnik sentiasa mencuba untuk bersaing dalam ekonomi ini untuk berusaha mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar. Penguasaan ekonomi yang berbeza serta jurang pendapatan yang tidak seimbang mengakibatkan ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk. Justeru itu, implikasinya mengakibatkan ketidakpuasan hati bagi semua golongan etnik. Bagi kaum Melayu yang terlibat dalam sektor pertanian mendapat pendapatan yang sedikit dan berkemungkinan akan menghadapi dengan kemiskinan. Situasi yang sama juga akan berlaku terhadap kaum India yang di mana harga getah dan kelapa sawit adalah berlandaskan kepada keadaan ekonomi di dunia. Jika harga meningkat, maka, pulangannya tentu baik dan sebaliknya juga akan berlaku. Golongan etnik Cina pula akan terus mencari peluang-peluang keemasan dalam perniagaan dan mereka dapat hidup dalam hidup yang cukup mewah. Akan tetapi, mereka pasti berasa tidak puas hati yang di mana kebanyakan lubang perniagaan banyak diutamakan kepada kaum Bumiputera atau Melayu. Sudah tentu timbulnya persoalan di lubuk pemikiran mereka di mana hak mereka sedangkan selama ini mereka banyak menyumbang kepada ekonomi negara. Isu-isu sebegini merupakan perkara yang boleh menyebabkan negara kita bergolak. Selain itu, dalam Rancangan Malaysia Kedua ada menyatakan perpaduan negara tida boleh dicapai tanpa kesaksamaan dan keseimbangan yang lebih besar dalam kalangan kumpulan sosial dan etnik Malaysia melalui penyertaan mereka dalam pembangunan negara dan dalam perkongsian manfaat daripada permodenan dan pertumbuhan ekonomi. Sesungguhnya, perpaduan negara tidak boleh dipupuk seandainya sebahagian besarnya penduduk kekal miskik dan peluang pekerjaan produktif yang tidak mencukupi. Fenomena kemiskinan bukan sahaja terdapat di kawasan luar bandar tetapi juga di kawasan bandar. Keadaan ini boleh mengugat perpaduan negara kerana masalah kemiskinan hanya menonjol dalam kalangan kelompok etnik yang tertentu sahaja.

Cabaran yang ketiga adalah cabaran kepentingan etnik dari aspek politik iaitu di mana politik perkauman boleh menimbulkan perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil tanpa mendapat kata sepakat oleh semua pihak. Isu-isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan berpolitik, pastinya, ia tidak akan menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu. Implikasinya mengakibatkan semua etnik akan saling berusaha untuk mengekalkan identiti kaumnya sendiri tidak kira dari aspek bahasa dan budaya, mereka akan cuba untuk mempertahankan agar mereka juga mendapatkan hak yang sama rata. Selain itu, semangat taat setia pada negara Malaysia juga tidak wujud di kalangan etnik kerana masing-masing pasti ingin menaburkan bakti pada negara mereka sendiri. Lambang bendara Malaysia akan tinggal sebagai lambang sahaja jika semua etnik hanya mementingkan hak etnik masing-masing.

Cabaran yang keempat adalah cabaran nilai antara etnik yang menyatakan perbezaan dari segi agama, bahasa, dan kebudayaan lebih ketara dalam masyarakat majmuk. Kaum Melayu, Cina dan India mempunyai agama, bahasa dan kebudayaan yang berlainan. Perbezaan ini bertambah sukar apabila setiap kaum terus menebal dengan bahasa dan kebudayaan mereka sendiri. Implikasi di sini mengakibatkan anggota etnik lebih mengutamakan anggota daripada etnik yang sama dalam memilih sahabat, mendapatkan perkerjaan. Perkara ini seolah-olah sudah menjadi tegal atau “taboo” kerana ia memang sukar untuk diubah walaupun menggunakan ubatan atau teknologi yang moden sekali pun. Setiap etnik tidak mempunyai perasaan hormat menghormati dengan agama dan budaya etnik-etnik yang lain. Kesukaran untuk hidup dalam satu masyarakat yang sama pasti akan menimbulkan kekecohan di kawasan tersebut. Ini adalah berdasarkan mereka mempunyai masalah untuk berkomunikasi dalam bahasa yang difahami oleh semua etnik. Masalah ini pasti mewujudkan ketidakselesaan juga mereka melihat budaya yang sebelum ini belum pernah disaksikan oleh mereka. golongan etnik-etnik ini tentunya sukar untuk menerimanya dan tidak mungkin akan menerima apa-apa perubahan walhal ianya memberikan banyak faedah dalam kehidupan seharian mereka.

Cabaran yang kelima adalah cabaran globalisasi yang menunjukkan proses globalisasi serta pembaratan corak hidup berasaskan ekonomi dan politik barat merupakan cabaran yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia pada masa kini. Implikasi daripada cabaran ini, jika dilihat dari sudut positif, kita dapat bergerak maju melalui pendedahan menggunakan teknologi yang tinggi serta pentadbiran yang sistematik menyebabkan Malaysia menjadi seperti yang dapat kita rasai perbezaannya kini. Namun demikian, pengaruh Barat ini juga mewujudkan pelbagai unsur-unsur yang negatif dari segi, budaya hedonisme atau budaya kuning yang telah berjaya menyesatkan para remaja yang bisa menjadi bakal pemimpin negara lenyap dek kerana budaya kuning yang songsang ini. Budaya kuning ini banyak memberikan nilai-nilai yang negatif seperti terlibat dalam kancah jenayah, pemakaian yang kurang sopan serta pergaulan yang melampaui batas. Dari segi sains dan teknologi yang memusnahkan kebanyakan golongan remaja terdedah dengan pornografi-pornografi yang menyongsangkan jiwa dan akidah remaja itu sendiri. Bermacam-macam keburukan yang memusnahkan alam sekitar, budaya hiburan dan penyalahgunaan sumber manusia dan bahan mentah juga datangnya daripada pengaruh Barat. Jelasnya di sini dapat dilihat, kehalusan dan ketimuran rakyat Malaysia semakin terhapus dek pengaruh Barat bagi merealisasikan wawasan negara. Tradisi dan adat resam kita pasti akan hilang juga kerana tiadanya insan yang ingin menjaganya daripada lupus dek arus pemodenan zaman.

Merujuk kepada hasil tulisan Hasnah Hussin dan Mardiana Nordin dalam buku Pengajian Malaysia, terbitan Oxford Fajar Sdn Bhd pada tahun 2007, usaha kerajaan ke arah pemupukan hubungan etnik bermula setelah tahun 1957, iaitu selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan bagi mengatasi cabaran-cabaran yang telah dikemukakan sebelum ini. Kerajaan merancang dan menyediakan pelbagai dasar dan pelan tindakan untuk mencapai perpaduan dari pelbagai aspek. Kerajaan telah merangka Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai landasan mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Penyata Razak dan Ordinan Pelajaran yang telah termaktub sebelum merdeka telah disemak semula menghasilkan Laporan Rahman Talib dan seterusnya dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961 merupakan antara usaha awal kerajaan dalam sektor Pendidikan. Matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka pendek dan panjang demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara strategi yang dirancang untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah menjadikan Bahasa Kebangsaan bahasa pengantar yang utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama dan sebagainya.

Kerajaan berusaha dengan lebih keras lagi dalam mencapai perpaduan berikutan berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 yang melibatkan rusuhan kaum yang amat dahsyat. Rentetan peristiwa tersebut telah terbentuknya MAGERAN pada 17 Mei 1969 yang berfungsi sebagai pengembali keamanan dan undang-undang negara; penentu pentadbiran yang licin dan sempurna; dan pengembali keharmonian dan kepercayaan antara kaum. MAGERAN didapati berjaya mengembalikan keamanan kepada negara selepas dua tahun ditubuhkan. Seterusnya, pada tahun 1969 juga, Jabatan Perpaduan Negara(JPN) dan Majlis Muhibah Negara(MMN) telah dibentuk. JPN yang diketuai Tan Sri Mohd Ghazali Shafie telah ditubuhkan untuk membantu kerajaan menggerakkan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan negara. MMN pula ditubuhkan pada 18 Julai 1969 bertujuan memulihkan kepercayaan dan keyakinan antara kaum, mengkaji dan mengatasi masalah untuk menghapuskan perselisihan faham, membantu dan menyusun kerja-kerja sukarela. MMN dan JPN telah digabungkan pada 1Januari 1972 menjadi Kementerian Perpaduan Negara yang kini bergelar Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat yang ditugaskan untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti bercorak muhibah untuk masyarakat yang berbilang kaum. Selain itu, pada 29 Januari 1970 juga telah tertubuhnya Majlis Perundingan Negara(MAPEN) yang bertanggungjawab untuk mengadakan garis panduan bagi kerjasama antara kaum dan integrasi nasional untuk memupuk identiti kebangsaan di kalangan rakyat Malaysia serta bertanggungjawab dalam pembentukan ideologi negara, iaitu Rukun Negara dan perubahan perlembagaan. Majlis ini dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat seperti wakil-wakil dari MAGERAN, wakil dari kerajaan negeri, wakil dari parti politik, wakil dari Sabah dan Sarawak, wakil dari kumpulan agama, wakil dari badan profesional, wakil dari perkhidmatan awam, wakil dari kesatuan sekerja dan persatuan majikan, wakil dari akhbar, wakil guru-guru dan wakil dari kelompok minoriti bagi membolehkan mereka membuat perbincangan secara berterus-terang. Kemuncak usaha kerajaan ekoran peristiwa 13 Mei ialah terciptanya satu ideologi negara iaitu Rukun Negara yang dihasilkan berasaskan kepercayaan, keyakinan dan iltizam untuk membentuk satu jati diri rakyat Malaysia yang unggul serta bertujuan menyemai dan memupuk integrasi nasional serta semangat perpaduan antara kaum. Rukun Negara dengan prinsip-prinsip berdasarkan semangat Perlembagaan diharapkan dapat membentuk jati diri rakyat negara ini sebagai satu bangsa Malaysia dan dijadikan sebagai pedoman dan hala tuju dalam merancang program pembangunan negara. Secara khususnya, ia merupakan ikrar yang menjadi acuan bagi integrasi nasional, pembentukan Bangsa Malaysia dan ideologi negara.

Usaha kerajaan diteruskan lagi dengan Dasar-Dasar Pembangunan Negara yang dirancang selaras dengan nilai-nilai sosioekonomi, politik, sumber kekayaan, aspirasi masyarakat serta persekitaran global. Dalam konsep hubungan etnik, dasar-dasar pembangunan negara merujuk kepada usaha kerajaan bersama rakyat untuk melakukan perubahan dalam aspek sosial, kebudayaan, politik dan ekonomi secara seimbang dan adil bagi semua kaum. Terdapat tiga pelan pembangunan negara yang utama iaitu Era Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Era Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan Era Dasar Pembangunan Negara. Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan salah satu usaha dasar ekonomi untuk mengubah masyarakat dan negara daripada keadaan mundur kepada maju dalam pelbagai aspek kehidupan (kebendaan dan bukan kebendaan). DEB dilancarkan oleh kerajaan Malaysia melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang(RRJP) yang bermatlamatkan untuk mengurangkan dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan menambah pendapatan dan memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat untuk mengurang dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Antara usaha yang dijalankan untuk membasmi kemiskinan melalui DEB ialah mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua golongan, menambahkan daya pengeluaran dan pendapatan, memberi peluang kepada orang yang bekerja di sektor yang rendah daya pengeluarannya berpindah ke sektor yag lebih lumayan, mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum dan antara kawasan (bandar dan luar bandar), memodenkan kehidupan di luar bandar dan memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat melalui pelajaran, latihan, kesihatan, kemudahan infrastruktur dan lain-lain.

Seterusnya, Dasar Pembangunan Nasional(DPN) telah dilancarkan pada tahun 1991 yang bermatlamat untuk mencapai pembangunan seimbang bagi mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan adil. DPN merupakan pemangkin negara ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan digerakkan di atas landasan yang kukuh ke arah membentuk pembangunan seimbang yang meliputi aspek keadilan sosial, nilai, etika dan moral mengikut acuan tempatan. Strategi DPN masih lagi berlandaskan strategi yang telah dibina oleh DEB iaitu serampang dua mata dan diperkasakan pendekatannya dengan memasukkan beberapa dimensi baharu dalam pelan tindakan, iaitu penegasan terhadap pembasmian kemiskinan dengan dua tumpuan utama, iaitu menghapuskan kemiskinan tegar dan mengurangkan kemiskinan relatif; menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) sebagai satu strategi ke arah meningkatkan dan seterusnya mengekalkan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi; meningkatkan penglibatan sektor swasta dalam proses penyusunan semula masyarakat dan memebri lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.

Usaha kerajaan diteruskan lagi dengan Dasar Wawasan Negara (2001-2010) atau dikenali sebagai Wawasan 2020. ia merupakan respons kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku pada peringkat nasional dan antarabangsa serta menitikberatkan pembangunan menyeluruh dan bukan sahaja pembangunan ekonomi tetapi dari segi politik, ekonomi, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020, Malaysia dijangka mampu menjadi sebuah negara yang bersatu padu dengan masyarakat Malaysia mempunyai nilai moral dan etika yang utuh, penyayang, adil dan saksama, berkeyakinan serta mampu bersaing. Dalam kertas kerja berjudul Malaysia Melangkah ke Hadpan(1991) yang dibentangkan pada sidang pertama Majlis Perdagangan Malaysia di Kuala Lumpur pada 28 Februari 1991 menyatakan terdapat sembilan cabaran yang dikenalpasti untuk merealisasikan Wawasan 2020. Sememangnya, negara Malaysia telah berusaha untuk mencapai kesembilan matlamat itu. Walaupun banayak matlamat itu menumpukan kepada pembangunan ekonomi, pembangunan keseluruhannya tidak boleh diketepikan. Hal ini disebabkan pembangunan keseluruhan dari aspek politik, sosial dan ekonomi yang mampu menyatukan rakyat. Pembangunan yang seimbang dari setiap sudut itu mampu menggerakkan pelbagai kaum di Malaysia untuk hidup secara harmoni dan sejahtera.

Pelan Tindakan Perpaduan & Integrasi Nasional telah dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Ia merupakan rancangan lima tahun iaitu dari 2005-2010 yang merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Pelan ini mengandungi pelbagai strategi yang dirancang dari pelabagai aspek seperti strategi politik, ekonomi, pendidikan, penggunaan Bahasa Kebangsaan, Agama, Kebudayaan, Integrasi Wilayah, Keselamatan, Pembangunan Kawasan, Penggunaan Tenaga Manusia, Media Massa, Kesukanan, Pemasyarakatan Perpaduan, Pertubuhan Sukarela, Penyelidikan Dan Penerbitan Bahan Bacaan, Pemantauan Isu-isu Semasa dan Konflik, Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri (JKPPN), program dan aktiviti perpaduan, Sekolah Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara. Kesemua program, pelan dan aktiviti yang dirancang telah dijalankan dengan bertujuan supaya masyarakat dapat melibatkan diri dan memupuk hubungan etnik yang erat antara rakyat di negara ini.

Melalui pembacaan beberapa karya Fatimah Azzahra & Yusri Ab. Malik. Siri Perpaduan Negara-Perpaduan Antara Kaum, terbitan Penerbit Setiamas pada tahun 1995. Masyarakat Malaysia merupakan sebuah masyarakat majmuk yang mempunyai pegangan agama, bahasa dan adat istiadat tersendiri. Perhubungan politik dan ekonomi dengan dunia uar, proses penjajahan barat dan kemasukan orang asing erupakan faktor utama yang bertanggungjawab mewujudkan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Malaysia terdiri daripada masyarakat yang ‘multiracial’ dan ‘multiculture’ yang mempunyai asas-asas kukuh untuk mewujudkan masyarakat yang lebih berbudaya, berilmu, bermoral, dan mendokong cita-cita murni bangsa Malaysia berteraskan konsep negara bangsa.Melalui konsep negara bangsa ini, semua masyarakat mendukung satu bangsa dan satu negara yang tegak di atas satu identiti negara yang sama yang dimenifestasikan oleh pemikiran, nilai-nilai sosio-budaya, lambang-lambang dan sentiasa berpegang kepada jiwa kemanusiaan dan kerohanian yang tinggi. Bangsa yang bertamadun mempunyai identiti peradabannya yang tersendiri.

Masyarakat berperanan dalam pemupukan hubungan etnik agar negara kita malaysia sentiasa dalam keadaan aman dan selesa. Salah satu contoh peranan masarakat adalah dalam penerimaan budaya. Secara amnya, memang ada kesamaan unsur kebudayaan antara ketiga- tiga golongan rakyat di negara ini. Ciri- ciri hindu telah meresap masuk ke dalam kebudayaan masyarakat melayu. Dari kepelbagaian budaya ini akan menyatukan nilai pelbagai bangsa. Orang cina yang datang ke negara ini untuk bekerja di lombong- lombong bijih timah diterima menjadi warganegara malaysia akhirnya. Persesuaian yang kelihatan antara tiga golongan utama iaitu melayu, cina, dan india berasaskan ciri budaya yang sama. Antaranya ialah mementingkan kekeluargaan dengan menghormati ibu bapa dan adik beradik. Disamping itu kepentingan agama didahulukan..

Satu daripada cara mencapai perpaduan di antara kaum ialah menjaga budi bahasa serta akhlak dalam pergaulan. Perbezaan agama serta kepercayaan tidak mengurangkan kepentingan pemupukan budl bahasa. Adat istiadat adalah peraturan yang sentiasa dlpatuhl dan diamalkan dalam masyarakat Malaysia terutamanya pada hari perayaan. Adat istiadat ini mencirikan Kebudayaan Kebangsaan. Antara hari-hari perayaan yang sama-sama dihormati ialah Hari Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos, Hari Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Raya, Sambutan Maulud Nabi Muhammad s.a.w, Hari Keputeraan rasmi DYMM Yang di-Pertuan Agong Malaysia

Malaysia sememangnya terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan kukuh dengan warisan budaya dan budi bahasa yang tinggi. Kesemua adat resam ini sama-sama saling difahami dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat agar perhubungan kaum dapat dijalinkan dengan erat. Bagi masyarakat Melayu terdapat beberapa• adat-adat kunjung mengunjung dalam masyarakat. Bagi pengunjung beragama Islam hendaklah memmberi salam 'Assalamu'alaikum'. Pengunjung bukan Islam memadai mengucap selamat sahaja. Setiap pengunjung yang hendak masuk ke dalam rumah orang Melayu perlu menanggalkan kasut. Bagi masyarakat India pula terdapat kepelbagaian adat bergantung kepada keturunannya sama ada Tamil, Punjabi atau India Utara. Antaranya secara umum ialah semasa memberi hormat, kaum India terdapat berbagai-bagai cara dan kebiasaannya dengan merapatkan tapak tangan dan mengangkatnya hingga ke dada sambiI mengucapkan kata-kata yang bermaksud selamat. Semasa berkunjung, tetamu mestilah membuka kasut kecuali jika tuan rumah membenarkannya. Kunjungan pula seeloknya dibuat pada hari dan masa yang dikira sesuai. Kunjungan ke rumah orang yang baru berpindah tidak sesuai dibuat pada hari Ahad, Selasa dan Khamis. Apabila hendak pulang tetamu hendaklah terlebih dahulu meminta diri daripada tuan rumah dengan mengatakan 'saya akan datang lagi' serta berjabat tangan. Masyarakat Cina pula mempunyai adat tersendiri di dalam menerima tetamu. Semasa berkunjung ke rumah orang dna, tetamu seelok-eloknya duduk di sebelah kiri tuan rumah. Ini menunjukkan tetamu itu menghormati tuan rumah. Tetamu hanya dilihat sopan apabila minum setelah dipersilakan oleh tuan rumah berulang kali. Adalah dianggap tidak sopan jika mengunjung rumah keluarga Cina sewaktu mereka sedang makan kecuali kunjungan itu khusus menghadiri jamuan. Adat-adat ini banyak membantu dalam menggeratkan perpaduan di antara kaum. Orang Melayu, Cina dan India sama-sama saling memahami adat dan kebudayaan masing-masing. Dengan ini tidak timbullah persoalan ketidaksefahaman antara kaum.

Kesimpulannya, perpaduan kaum adalah perkara utama yang harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara Malaysia yang bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara. Kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap isu perpaduan ini supaya dapat mengekalkan keharmonian kehidupan di negara kita selain menjaga kemerdekaan yang telah dicapai melalui perpaduan nenek moyang kita. Oleh yang demikian, setiap kaum, golongan masyarakat dan semua pihak adalah terlibat bekerjasama dalam mencapai usaha yang murni ini bagi menjamin kehidupan sejahtera yang berpanjangan.





BIBLIOGRAFI:

Fatimah Azzahra & Yusri Ab. Malik. Siri Perpaduan Negara-Wawasan
2020. Petaling Jaya. Penerbit Setiamas. 1995

Hasnah Hussin dan Mardiana Nordin. Pengajian Malaysia. Selangor
Darul Ehsan. Oxford Fajar Sdn Bhd, 2007.

Saw Swee Hock and K. Kesavapany. Malaysia Recent Trends and
Challenges. Singapore. Institute of Southeast Asian Studies, 2006.

Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid. Malaysia Kita. Malaysia.
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), 1991.

http://www.jpnin.gov.my/v4/?q=ms/taxonomy/term/32&page=5, tarikh
akses pada 14hb Mac 2009

8 comments:

Mohd Nizam said...

Mohon kongsi untuk tugasan.

Mohd Nizam said...

Mohon kongsi untuk tugasan.

Mohd Nizam said...

Mohon kongsi untuk tambahan bahan tugasan.

Mohd Nizam said...

Mohon kongsi untuk bahan tugasan.

Mohd Nizam said...

Mohon kongsi untuk tugasan.

~cik wan~ said...

Sy mohon ambil nota ni untuk tugasan ye..
tenQ..

~cik wan~ said...

Sy mohon ambil nota ni ye untuk tugasan..
tenQ

ntah said...

saya pun