Friday, December 17, 2010

Kepentingan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu sekolah rendah.


1)    PENDEKATAN
Definisi:
            Mengikut Kamus Dewan (1998), pendekatan merupakan cara atau langkah-langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas.
            Menurut buku yang ditulis oleh Mok Song Sang (2008), terdapat empat jenis pendekatan iaitu:
1.    Pendekatan Induktif
2.    Pendekatan Deduktif
3.    Pendekatan Integratif
4.    Pendekatan Eklektik
Kepentingan Pendekatan:
           Apabila melihat konsep pendekatan iaitu cara mendekati sesuatu, ia merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajarkan untuk  mencapai objektifnya. Maka dengan itu dapatlah dikenalpasti akan kepentingan pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran di mana sebagai guru yang mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya mestilah mengetahui terlebih dahulu latar belakang mereka. Ini kerana, dengan mengetahui latar belakang     mereka, guru tersebut dapat memilih dan merancang pengajarannya dengan   menggunakan pendekatan yang sesuai. Guru tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama terhadap murid yang berlainan. Ini dikhuatiri proses  pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan tidak berkesan iaitu tidak  mencapai objektif. Sekiranya guru dapat mengenal pasti sifat atau keperluan murid-muridnya, maka guru tersebut akan dapat memilih dan menggunakan pendekatan yang sesuai, tepat dan betul supaya proses pengajaran dan  pembelajaran berlaku secara efektif.


2)    STRATEGI
Definisi:
            Menurut Kamus Dewan (1998), strategi merupakan rancangan yang teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan. Strategi juga boleh diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara optimum.
            Sebenarnya strategi meliputi kempat-empat aspek seperti kaedah, pendekatan, teknik dan aktiviti.
           
            Namun begitu, terdapat empat jenis strategi dalam pengajaran dan pembelajaran seperti yang dinyatakan oleh Mok Song Sang (2002):
i)             Pemusatan Guru
ii)            Pemusatan Murid
iii)           Berasaskan Bahan
iv)          Berasaskan Tugasan/aktiviti
         
Kepentingan Strategi:
                        Berdasarkan kepada jenis strategi pengajaran dan pembelajaran maka      kepentingan strategi dapat dikenalpasti iaitu ia membantu guru dalam       merancang kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran berdasarkan  obejektif-objektif pelajaran yang telah ditentukan. Rancangan pengajaran itu  sangat penting bagi seorang guru kerana ia akan menentukan pencapaian   optimum seorang murid di dalam kelas iaitu dengan melihat respon yang diberikan semasa sesi pengajaran. Selain itu, strategi juga penting  dalam  menyusun kaedah dan teknik mengajar secara sistematik dengan mengikut prinsip dan teori pembelajaran. Apabila ada strategi, seorang guru itu dapat  melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan lancar tanpa ada sebarang masalah kerana dia sudah membuat persediaan awal dengan   mengatur langkah-langkah pengajaran dengan sebaiknya.


3)    KAEDAH DAN TEKNIK MENGAJAR

Konsep Kaedah:
            Pada umumnya, kaedah ialah cara atau peraturan digunakan untuk melaksanakan sesuatu. Berlainan dengan pendekatan, kaedah merujuk kepada satu siri tindakan guru yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran spesifik dalam jangka pendek. Dengan perkataan lain, kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah-langkah penyampaian yang tersusun.
   
1.    Prosedur pertama: Mengnal pasti masalah
2.    Prosedur kedua: Merancang penyelesaian
3.    Prosedur ketiga: Mengumpul maklumat
4.    Prosedur keempat: Membuat tafsiran
5.    Prosedur kelima: Membuat kesimpulan

Konsep Teknik:
            Menurut Kamus Dewan (edisi ketiga), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya.
            Di antara teknik-teknik pengajaran Bahasa Melayu yang biasa digunakan oleh guru adalah seperti berikut:
  1. Teknik main peranan
  2. Teknik permainan bahasa
  3. Teknik latih tubi
  4. Teknik bercerita
  5. Teknik inkuiri
  6. Teknik perbahasan
  7. Teknik kuiz
  8. Teknik sumbangsaran
  9. Teknik soal jawab
  10. Teknik simulasi
  11. Teknik drama
  12. Teknik perbincangan
  13. Teknik forum
  14. Teknik dialog
           
Kepentingan Kaedah dan Teknik
                        Kepentingan menggunakan variasi teknik dan kaedah mengajar dalam    situasi pengajaran ialah untuk menarik perhatian murid. Dengan teknik dan   kaedah pengajaran yang kreatif, murid akan berasa seronok dan secara tidak langsung mereka akan member perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan oleh guru. Kaedah dan teknik juga penting untuk mengekalkan perhatian murid  terhadap sesi pengajaran guru. Apabila murid tertarik dengan kaedah dan teknik mengajar yang digunakan oleh guru, perhatian murid akan dapat dikekalkan  sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu juga, pemilihan kaedah dan teknik yang sesuai boleh membangkitkan rasa ingin tahu dalam diri murid. Contohnya seorang guru menggunakan teknik bercerita untuk mengajar, murid   akan tertanya-tanya apakah pengakhiran cerita tersebut.

No comments: