Monday, June 6, 2011

Sumber Pengajaran dan Pembelajaran dalam Pengajian Sosial

Menurut Atan Long (1982) bahan-bahan pengajaran dan alat bantu mengajar ada berbagai-bagai. Bahan-bahan itu mungkin dalam bentuk buku, carta atau slaid yang dipancarkan pada layar. Alat-alat yang menyokong penyampaian pembelajaran diberi nama‘Alat Bantu Mengajar’.
Dalam program Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang baru dilaksanakan, pembelajaran Pengajian Sosial yang berkesan dikaitkan dengan penggunaan alat dan bahan yang sesuai, terutamanya yang boleh dilihat, didengar, dirasa, dihidu dan disentuh oleh murid. Mereka boleh mengalami sendiri apa yang disampaikan oleh guru. Ini membuatkan mereka lebih memahami isi pelajaran dan apa yang difahami itu pula akan lebih kekal dalam stor ingatan mereka.
Kesemua sumber, jika digunakan dalam situasi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai akan bertindak sebagai rangsangan untuk mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih bermakna (Romiszowski,A.J. 1964). Dengan cara ini, murid akan dapat belajar dalam situasi yang berkesan.
Penggunaan sumber penting dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Sosial. Hal ini kerana sumber boleh membantu guru menjelaskan isi pelajaran kepada murid dan membantu murid memahami apa yang diajar oleh guru. Sumber pengajaran dan pembelajaran bertindak sebagai media komunikasi, rangsangan, penjelas makna, penggerak pelbagai deria, sumber pengalaman, unsur yang mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran serta pendorong kepada pengajaran terancang.
Sumber pengajaran dan pembelajaran (SPP) adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan program pembelajaran, menimbulkan rangsangan keinginan pelajar-pelajar untuk mengetahui sesuatu dan untuk menjadikan pembelajaran baik dan lebih menarik. Oleh yang demikian, SPP amat penting untuk membantu guru menyampaikan ilmu dan murid menerima ilmu secara berkesan.

Menurut Noraziah Abdul Hamid (1981), bertajuk “Alatan Mengajar Dalam Pengajaran Bahasa, ‘alat bantu‘ itu mestilah dianggap sebagai satu bahagian yang padu dalam proses tersebut. Ia bertujuan untuk menambah kelancaran perhubungan antara guru dan murid dan sebaliknya, murid sesama murid serta membantu atau mempercepatkan proses pemahaman mereka. Pendapat ini disokong oleh Edgar Dale (1964) yang digambarkan dalam bentuk “cone of experience” di mana proses pembelajaran bermula dengan proses aspek semi-abstrak hingga kepada yang lebih abstrak.
Penggunaan model sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran menepati teori yang dikemukakan oleh Bandura. Hal ini kerana, Bandura menyatakan bahawa proses pembelajaran meliputi pemerhatian, pemikiran, peringatan, peniruan dengan tingkah laku atau gerak balas yang sesuai dan diakhiri dengan peneguhan positif.
Model seperti bahan tiga dimensi yang baik seperti kraftangan, replika bangunan boleh ditunjukkan kepada murid-murid sebagai contoh dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan pengetahuan murid-murid melalui pemerhatian dan pemikiran.
Oleh yang demikian, penggunaan SPP dalam sesi pengajaran dan pembelajaran amat penting untuk meneguhkan pemahaman dan ingatan murid terhadap sesuatu isi pelajaran yang berkesan. Secara tidak langsung, murid akan dapat menerima ilu tersebut dengan lebih berkesan.

No comments: