Monday, June 6, 2011

Ujian Formatif dan Ujian Sumatif


 Ujian Formatif
Ujian formatif ialah ujian yang diberikan secara berterusan, iaitu sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran, bagi setiap tajuk yang diajar. Tujuan ujian ini ialah untuk menilai keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran pelajar bagi setiap tajuk yang diajar. Hasil daripada ujian ini boleh digunakan oleh guru untuk mengadakan aktiviti pemulihan, memperbaiki pendekatan/kaedah mengajar dan juga boleh digunakan oleh pelajar untuk memperbaiki pendekatan/kaedah pembelajaran. Bagi tujuan pemulihan, prosedur membina soalan ujian ialah seperti berikut:
i.              Menentukan tajuk pengajaran yang ingin diuji.
ii.            Menentukan aspek dan tahap penguasaan yang perlu dicapai oleh pelajar bagi tajuk pengajaran berkenaan. Misalnya, pelajar perlu mendapat 80% untuk menunjukkan mereka sudah menguasai tajuk tersebut.

iii.           Menghubungkaitkan elemen-elemen dalam tajuk pada peringkat perlakuan berdasarkan taksonomi objektif pengajaran. Guru perlu menyusun elemen-elemen ini mengikut tahap objektif dan mengaitkannya supaya saling bertautan.
iv.           Membina soalan ujian mengikut bilangan elemen dalam tajuk, iaitu setiap elemen perlu diuji melalui sekurang-kurangnya satu soalan. Soalan ujian yang sesuai perlu dibina untuk mengukur penguasaan pelajar terhadap semua elemen ini.

Ujian Sumatif
Ujian sumatif ialah proses penilaian yang dijalankan secara menyeluruh pada akhir satu peringkat pembelajaran untuk menentukan tahap pembelajaran dalam kalangan murid. Ia bertujuan untuk menentukan pencapaian pembelajaran dan pemeringkatan gred murid. Satu lagi ujian sumatif ialah untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dapat dicapai oleh murid.

Biasanya ia akan meliputi seluruh sukatan pelajaran untuk satu peringkat pembelajaran. Ujian sumatif boleh dijalankan selepas satu peringkat pengajaran dan pembelajaran dalam satu kursus yang tertentu. Sebagai contoh, ia boleh dijalankan pada akhir penggal, tahun atau sesi persekolahan. Guru akan membandingkan pencapaian antara calon untuk menentukan taraf kedudukan murid-murid dalam bilik darjah.

No comments: